Saturday 14 March 2015

Wahai Diri.

Hitam pekat, tiada sirna.
tiada tilik rembulan, gelap sahaja.
merangkak di kerikil penuh hiba;
keajaiban dinanti tak kunjung tiba.

sudah kau belajar sifat Yang Esa;
aneh, tiada tampak tamsilan hamba.
benar, luas terbuka gerbang taubatNya.
bukan alasan kau berbuat sesuka.

bergelumang syahwat kau merasa sentosa,
kau kira rahmatNya terbentang sentiasa,
kau kira diampun mudah sahaja,
sedarlah diri kau amatlah tercela.

kepada Dia tidak kau takuti,
sekalian makhluk kau tiada berani,
percaya sungguh hukum duniawi,
tiadalah terlintas pertemuan yang pasti.

wahai diri di tebing durjana!
selangkah lagi, itu 'gaung tiada asa';
jatuh di situ putuslah segala,
tiadalah penyelamat, sendiri sahaja.

wahai diri kau telah berjanji!
kembali dengan pinjaman yang suci;
namun kini kau kuat mengotori,
apa kau kira diterima nanti?

wahai diri kau tak henti menzalimi!
jangan diharap makhluk dan diri.
Dia ada, Dia tiada kecewa menanti.
Yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.

mulianya Dia, dipinjam senafas lagi,
walau kau mungkar berkali-kali;
wahai diri, jangan engkau ulangi lagi.
kalaupun kau ulang, kembalilah lagi.

gelap, untungnya kau masih mengikat asa.
bangkit, jangan dimungkari hadiah Yang Esa.
kembali, kembalilah lagi sehabis daya.
jujur, ketahuilah itu rahsia segenap rahsia.

Tuesday 3 March 2015

Coretan Si Kaki Label Yang Celaru.

(Sepatutnya aku update blog ni dalam bahasa inggeris. Tapi sebab blog pengemis-comel.blogspot dah kena curi/ hijack/ hack atau apa-apa dah jadi aku pun taak tau, apa boleh buat. Jadi lepas ni, semua benda kita tuang sini.)


Mutakhir ini kita melihat semakin banyak tampil golongan pemuda pemudi yang bersuara dengan lantang mengenai pemahaman politik mereka, baik di dalam rangka jaringan media sosial mahupun melalui pelbagai jenis diskusi dan wacana. Rata-rata membawa idea liberalisme, sosialisme secara generalnya. Idea-idea mengenai konsep pembawaan dunia kea rah yang lebih baik. Tatkala mendengarnya pelbagai reaksi keluar di kalangan kita.

Golongan pertama mengeluarkan reaksi, “Lupakan segala ideologi itu, kembalilah kepada Islam sepenuhnya.” Tapi tatkala ditanyakan soalan fundamental tentang Islam sendiri, terkebil-kebil. Belum lagi ditanyakan persoalan falsafah-sosioekonomi-sosiopolitik-pendidikan. Ketamadunan Islam itu sendiri bercelaru, tokoh Islam tidak dikenal. Pemahaman yang rapuh tapi berusaha mengajak ke Islam yang mereka fahami. Bagaimanakah?

Golongan kedua pula mengkaji dan meneliti dan menyelusuri segala perbincangan dan fahaman tersebut. Dan lemas dalam segala macam permasalahan. Kembali semula ke takuk awal pencarian diri bila mula memahami permasalahan-permasalahan yang melanda kini. Ramai yang mula keliru, dan selaku manusia tahap keliru itu berbeza. Persoalannya, berbaloikah mereka dalam keadaan begini?

Golongan ketiga ialah kalau boleh tidak ingin aku sebut di sini. Golongan yang tidak sedar langsung mengenai kecelaruan-kecelaruan pemahaman, serta pecah-pecah pemikiran yang berlaku kini. Atau mungkin juga golongan ini langsung tidak keliru fahamannya, maka dia terselamat dari kecelaruan ini. Mungkin.
Lantang sungguh si penulis melabel.

Nostalgia Umat Islam

Menelusuri sejarah Empayar Islam yang terdahulu. Yang menguasai dua pertiga dunia.  Kita mula berbangga. Kita mula bersemangat. Masakan tidak, di zaman itu segala macam ilmu kita kaji, sistem teknologi tertinggi kita kuasai, kekuatan askar kita punyai, pasaran yang luas kita miliki. Namun kini segalanya itu hanya tinggal di nota, serta hanya tinggal sebagai cebisan rasa. Layaran di lembaran sejarah mula menghadirkan rasa nostalgik dalam jiwa kita selaku muslim, muslim yang kini bukan lagi terkehadapan dalam arus pasca-kemodenan.

Kepada anda semua, selaku mahasiswa yang cakna, satu persoalan ingin diutarakan di sini. Bagaimanakah kita memandang punca jatuhnya Empayar (?) Islam di zaman Uthmaniyyah? Adakah kita memandang bahawa jatuhnya kita selaku ‘wira’ dunia adalah kerana dijatuhkan musuh kita, Eropah yang melalui Zaman Pencerahan (Enlightment)- kepada Revolusi – kepada Pasca-Revolusi - Eropah Moden? Ataupun kita merasakan ia berpunca kerosakan dalaman Islam daripada sudut ulama suu’ yang mendampingi khalifah, khalifah yang bodoh- pemimpin yang korup, rakyat yang tidak sedar?

Dalam kita mengenang kembali kejayaan demi kejayaan kita terdahulu. Ada satu perkara penting yang perlu kita ketahui. Selain kepimpinan, khilafah, ada satu lagi unsur utama yang telah dirampas oleh Eropah dari kita, yang membuatkan kita tidak lagi segah dulu, itulah ‘keilmuan’.

Kembali kepada realiti

Sibuk. Ya. Sibuk sekali. Silibus-silibus Perubatan yang perlu difaham dan dihafal, kemudian tanggungjawab terhadap komuniti, tidak lupa kepada diri juga yang menuntut rehat, ketenangan dan ‘sedikit’ keseronokan. Yang pertama sekali ialah mengetahui tempat, tanggungjawab kita serta menyusun prioriti. Agar kita tidak menggunakan alasan menuntut ‘ilmu’ untuk lari dari tanggungjawab menuntut ilmu perubatan.

Pengenalan di atas tadi hanyalah sekadar pengenalan pseudo-ilmiah serta acah-acah intelektual untuk kita sedar akan pecahan dalam pemahaman dan pemikiran yang berlaku sekarang. Serta masalah mudahnya kita meletakkan label ke masyarakat sekarang tanpa pemahaman yang jelas.

Bagaimana ingin kita hadapinya? Solusinya tidak memerlukan kita tiba-tiba terjun ke perbincangan-perbincangan intelektual membincangkan dikotomi akal dan nas, sosialis vs Islam dan lain-lain lagi. Yang penting keluarlah dari kepompong kemalasan, tempurung kebodohan dan lembah kebebalan. Keluar itu bukan sekadar keluar agar tidak disangka malas oleh si jahil, tapi keluar itu mencari ilmu yang benar. Ilmu yang bukan sekadar maklumat, ilmu yang mampu menghasilkan idea, ilmu yang menyinari bukan mengelamkan.

Permulaan  untuk menuntut ilmu itu memerlukan untuk kita tahu membezakan ilmu dan maklumat. Ilmu punya rukun dan perinsipnya, manakala maklumat terbuka untuk kita gali di mana-mana. Lambakan maklumat ini adalah masalah utama yang kita hadapi sekarang. Kepantasan media sosial menyalurkan maklumat membuat kita tidak bersungguh untuk mencari dan memahami isu dan pemahaman, mengambil sekadar yang mudah untuk kita cerna. Dan akhirnya kemalasan ini menjadi punca lahirnya fahaman-fahaman yang rosak lagi merosakkan.

"Membaca merupakan kunci menuju kebahagiaan manusia, yang membukakan kepada kita wawasan pengetahuan dan berbagai ilmu bermanfaat yang mana orang-orang barat mempelajarinya dari orang arab disaat pembebasan kota Andalusia, mereka (orang barat) mengambil sesuatu hal yang sangat penting dalam peradaban kita yaitu membaca sedangkan kita meninggalkannya, mereka menerapkannya pada semua kebudayaan dan ilmu pengetahuan sedangkan kita masih terjerumus dalam kebodohan. Dengan ini dewan ulama Al-Azhar menyatakan bahwa Allah senantiasa memuliakan dan menjaga para ulama, sehingga menjadikan mereka sebagai pewaris para nabi. Dan sesungguhnya membaca itu merupakan jalan menempuh suatu ilmu dan Allah senantiasa memuliakan bagi mereka yang berilmu."

Syeikhul Azhar Syeikh Ahmad Thoyib

Seterusnya penyuburan budaya membaca. Masa itu sentiasa ada sekiranya kita cari. Membaca itu budaya berharga yang peradaban kita miliki. 

Namun membaca sahaja tidak mencukupi.

Membaca juga memerlukan juga pemahaman dari orang yang mahir membaca buku atau kitab-kitab tersebut. Pembacaan seharusnya disertai diskusi dengan pelbagai pihak, serta dilakukan melalui berguru dengan guru yang benar dan sahih.

Nostalgia tinggal sebagai nostalgia. Yang penting adalah kita yang sekarang. Perlu dibangkitkan bukan sekadar dengan semangat membara semata. Juga dengan ilmu untuk merungkai segala keserabutan, serta menunjuk di pertengahan jalan. 

Ilmu bukan sekadar untuk memahami makhlukNya, bahkan perlu dibuat cahaya untuk mencari ‘wajah’ Dia!

p/s : artikel lama. saja post draf, sebab? malas menulis. Ya Rabb. jauhkan kami dari sifat malas, dan dari sifat bercakap perkara yang tak diamalkan.