Saturday 14 March 2015

Wahai Diri.

Hitam pekat, tiada sirna.
tiada tilik rembulan, gelap sahaja.
merangkak di kerikil penuh hiba;
keajaiban dinanti tak kunjung tiba.

sudah kau belajar sifat Yang Esa;
aneh, tiada tampak tamsilan hamba.
benar, luas terbuka gerbang taubatNya.
bukan alasan kau berbuat sesuka.

bergelumang syahwat kau merasa sentosa,
kau kira rahmatNya terbentang sentiasa,
kau kira diampun mudah sahaja,
sedarlah diri kau amatlah tercela.

kepada Dia tidak kau takuti,
sekalian makhluk kau tiada berani,
percaya sungguh hukum duniawi,
tiadalah terlintas pertemuan yang pasti.

wahai diri di tebing durjana!
selangkah lagi, itu 'gaung tiada asa';
jatuh di situ putuslah segala,
tiadalah penyelamat, sendiri sahaja.

wahai diri kau telah berjanji!
kembali dengan pinjaman yang suci;
namun kini kau kuat mengotori,
apa kau kira diterima nanti?

wahai diri kau tak henti menzalimi!
jangan diharap makhluk dan diri.
Dia ada, Dia tiada kecewa menanti.
Yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.

mulianya Dia, dipinjam senafas lagi,
walau kau mungkar berkali-kali;
wahai diri, jangan engkau ulangi lagi.
kalaupun kau ulang, kembalilah lagi.

gelap, untungnya kau masih mengikat asa.
bangkit, jangan dimungkari hadiah Yang Esa.
kembali, kembalilah lagi sehabis daya.
jujur, ketahuilah itu rahsia segenap rahsia.

No comments:

Post a Comment