Thursday 14 January 2016

Jujur.

Tadi baru lepas dengar talk ini. Seronok bila ada orang bahasakan segala apa yang selama ini terbuku dan huru-hara di dada.

Bila orang berkongsi, kita pun rasa nak berkongsi. Alah, tahu je orang terlalu sibuk nak baca dan dengar. Cuma aku yakin, kadang-kadang kita tak tahu benda kecil kita buat boleh beri kesan besar pada orang lain.

Kalau orang tanya aku depression (kemurungan) ni macam mana? Mungkin aku akan jawab, dia macam satu keadaan yang mana kau paksa kat diri kau sambil kata, "boleh ni, boleh." Jadi kau bangun dan cuba.
 
Tapi gagal. 
 
Berbulan-bulan kau duduk sendiri ternganga. Pelik, kau tahu kau kena buat tapi kau tak boleh buat. Sampai satu saat datang semacam satu semangat (memang tiba-tiba datang, secepat dia datang secepat itu dia pergi. ceh). 
 
"Boleh ni, boleh." 
 
dan berulanglah perkara yang sama. Kau cuba, kau buat, kau jatuh ternganga. Macam kau dalam satu lubang yang dalam, tak dapat melihat, mendengar hatta merasa. Kau cuba keluar, kau rasa kau dapat keluar. Kau panjat dan kau jatuh, tergelincir ke kegelapan yang lebih suram, dek kerana cuba mengejar lintasan yang kau sangka cahaya harapan.

Satu yang 'bernilai' aku rasa, dan sangat perlu kau belajar bila kau lalu benda ni. kau jangan harap pada sesiapa, hatta diri kau sendiri. Semuanya tiada apa. tidak akan mampu menarik kau keluar dari duka durja kegelapan ini. Kita hanya makhluk yang lemah.

Percayalah, orang depresi hampir tiada cara kau boleh tolong mereka melainkan dua,

1. kau mendengar dengan sebenar-benar dengar bila mereka cuba bercakap
2. kau berdoa dengan sebenar-benar harap agar mereka mampu melihat melepasi diri mereka

Maka, saranku belajarlah berTuhan. andai kau yakin dan tampak bahawa hatta setiap nafas adalah takdir yang telah dia tulis, dan kau yakin Dia sebaik-baik perancang, maka perlahan-lahan kau akan tenang.

Susah. Memang susah. Sebab kita ini cuma manusia. Manusia ini sangatlah pelupa. Kita lupa kita ada Tuhan. Jadi ingatkan diri kau selalu (yakni zikir), paksakan nampak, pasakkan di dada adanya Tuhan di sebalik semua. Perlahan-lahan kau akan jumpa cahaya. Ya, lubang gelap dan suram ini akan ada cahayanya.  Cahaya yang tidak akan malap dan sirna. Dan satu hari kau akan bangun dan lupa. Seakan-akan apa yang kau lalu selama ini tiada apa. Kalau berulang semula, paksakan agar kembali ingat. Tidaklah segala menjadi gelap, melainkan kerana kau lupa. Ingatlah Tuhan itu ada, dan tidak terjadi segala apa itu sia-sia.

"There are three things people tend to confuse: depression, grief and sadness. Grief is explicitly reactive. If you have a loss and you feel incredibly unhappy, and then, six months later, you are still deeply sad, but you're functioning a little better, it's probably grief, and it will probably ultimately resolve itself in some measure. If you experience a catastrophic loss, and you feel terrible, and six months later you can barely function at all, then it's probably a depression that was triggered by the catastrophic circumstances. The trajectory tells us a great deal. People think of depression as being just sadness. It's much, much too much sadness, much too much grief at far too slight a cause."

Bertabahlah. Jujur dan akui segala apa masalah kau, cari mereka yang sudi mendengar dan kau percaya. Atau lepaskan semua pada yang Maha Mendengar dengan penuh jujur. Dan perlahan-lahan kau akan rasa, beban yang selama ini menghempap tiba-tiba hilang begitu saja. Mungkin akan ambil masa, atau mungkin kau akan lupa dan lemas semula, tapi jangan pernah hilang percaya. Percaya dan percaya. Akan tiba masa Dia beri kurniaNya tanpa sebab yang munasabah. Hanya kerana Dia Maha Memberi.

Random. Tulis sebab aku nak tulis. Nilai la semahu engkau, cuma beringat aku ini cerminan engkau juga.
 
Mintak maaf si pemalas ni malas nak menulis. Haha.

No comments:

Post a Comment